Rabu, 4 April 2007
Ilmu keibubapaan jamin tarbiah anak
Komunikasi eratkan hubungan keluarga
Dalam hubungan ini, ibu bapa disaran mengenali aspek personaliti anak sejak kecil, sekali gus membantu mencari peluang dan potensi mereka untuk berjaya. Perubahan persekitaran yang begitu pantas dalam era globalisasi, mendidik anak kini menjadi cabaran bagi ibu bapa.Oleh itu, hubungan antara ibu bapa dan anak harus diperbaiki dari semasa ke semasa untuk mencapai matlamat pengukuhan integriti dalam keluarga. Antaranya, meluangkan lebih banyak masa yang berkualiti bersama anak dan ahli keluarga bagi menjamin kerukunan rumah tangga.Kaunselor Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Wilayah Persekutuan, Sabaram Naidu, berkata peranan dan tanggungjawab mendidik anak seharusnya dipikul bersama antara suami isteri dan bukan satu pihak.“Ibu bapa perlu selalu meluangkan masa untuk anak dan bertukar peranan mengikut situasi seperti menjadi rakan baik terhadap pasangan dan anak dengan mendengar luahan serta berkongsi cerita.“Kasih sayang juga perlu diberi tanpa rasa berbelah bagi ataupun dengan syarat tertentu. Pada masa sama, kasih sayang perlu ditunjukkan dengan cara menyatakan rasa cinta, rindu dan sayang terhadap keluarga,” katanya pada kursus bersiri Pembangunan Keluarga ‘Pengukuhan Integriti Keluarga’ anjuran LPPKN, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Sabaram berkata, ibu bapa juga perlu menjadi contoh kepada anak. Peluang mendekati dan memahami anak akan membuatkan si kecil merasa dekat dan mendapat sokongan emosi daripada ibu bapa.“Ibu bapa perlu mengawal emosi apabila berdepan dengan kerenah anak. Jika ibu bapa ada membuat kesalahan, tidak perlu malu untuk mengaku kesilapan dan memohon maaf.“Sikap begitu memberi peluang kepada anak untuk mencontohi sifat terpuji dan mereka akan berasa bangga mempunyai ibu bapa sedemikian,” katanya.Proses tumbesaran anak dari segi emosi dan fizikal juga menyebabkan ibu bapa perlu bersedia dan peka terhadap perubahan tingkah laku mereka. “Apabila anak membesar, beri peluang kepada mereka untuk buktikan dirinya sudah dewasa. Selain itu, nyatakan isi hati dan harapan kita pada mereka secara jelas dan minta pandangan supaya berlaku komunikasi yang berkesan,” katanya.Sementara itu, pensyarah Bahagian Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Dr Lihana Borhan, berkata integriti dalam komunikasi keluarga sangat mementingkan kejujuran dan keterbukaan.“Ada dua jenis komunikasi iaitu komunikasi instrumen dan berkesan yang boleh digunakan bagi mencapai matlamat pengukuhan integriti keluarga.“Komunikasi berkesan bermaksud proses penyampaian maklumat daripada seorang ke seorang yang lain supaya diterima dan difahami,” katanya.Dr Lihana berkata, komunikasi yang berkesan juga mempunyai gangguan yang menghalang penyampaian mesej dalam wahana komunikasi dan perbezaan tafsiran individu itu sendiri.“Dalam hubungan keluarga, komunikasi antara ibu bapa dan anak perlu diucapkan dengan jelas dan mengkhusus supaya tidak berlaku salah faham dan kekeliruan pada mesej yang ingin disampaikan,” katanya.Dr Lihana berkata, dalam komunikasi perlu ada cara mendengar yang aktif iaitu bukan saja mendengar pada lisan tapi melihat pada komunikasi bukan lisan dan tanda yang diguna oleh pengucap.“Ada kalanya anak kecil suka bercerita sesuatu perkara dengan panjang lebar. Sebagai ibu bapa kita perlu mendengar dan jangan potong percakapan mereka sebaliknya beri galakan seperti dengan menganggukkan kepala,” katanya.Integriti dalam komunikasi juga mementingkan aspek lain iaitu kebolehpercayaan, berprinsip dan integriti dalam mesej yang bermaksud mesej itu sampai kepada penerima secara tersurat dan tersirat.Beliau berkata, faedah komunikasi terbuka dalam hubungan kekeluargaan juga perlu ada seperti perkongsian suka duka, impian dan harapan serta dapat melahirkan kebimbangan pada ahli keluarga.“Melalui cara ini, penyelesaian masalah dapat diselesaikan bersama dengan pasangan atau ahli keluarga dengan lebih berkesan.“Kesan lain, perasaan selamat dan sokongan emosi daripada ahli keluarga membantu memberi suasana yang lebih selesa dan hidup harmoni,” katanya.Begitu pun, kata Dr Lihana, wujud perbezaan cara berkomunikasi bagi jantina berlawanan yang mana kata-kata suami atau isteri boleh mewujudkan salah faham kerana perbezaan tafsiran. Sebagai contoh, isteri meminta suami menghubunginya apabila sampai ke pejabat. Pada tafsiran suami, isterinya seolah-olah tidak mempercayainya sedangkan isteri hanya mahu mewujudkan perhubungan yang berterusan bersama suami walaupun berada di tempat lain.Aspek kejujuran yang menjadi ‘rencah’ integriti dalam komunikasi mewujudkan keupayaan terhadap individu membincangkan pelbagai perkara. Seterusnya, individu perlu berlaku jujur pada diri sendiri dan terhadap pasangan serta ahli keluarganya. “Kejujuran adalah perkara paling penting untuk dipraktikkan dalam pembinaan dan pengukuhan keluarga. Jika tidak, ia akan mewujudkan masalah seperti perceraian dan keluarga yang berpecah-belah.“Tunjukkan kasih sayang pada pasangan dan ahli keluarga dengan tindakan, ucapan, masa yang berkualiti dan pemberian hadiah supaya masing-masing rasa dihargai dan dihormati,” katanya. Pemantapan sahsiah bendung isu sosialBERTITIK tolak bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020, kerajaan membentuk Pelan Integriti Nasional (PIN) sebagai persediaan menjadi negara maju yang bukan saja membangun dari segi fizikal dan ekonominya, tetapi juga akhlak dan sahsiah individu dalam masyarakat hari ini serta masa depan.Cabaran bermula dalam memantapkan institusi keluarga hari ini bagi berdepan situasi itu kira-kira 13 tahun lagi. Pengukuhan itu penting berikutan pemerhatian yang berlaku di negara Barat, mereka mundur dari segi akhlak dan moral individu dan mewujudkan pelbagai masalah sosial meskipun maju dalam ekonomi.Sehubungan itu, Pengarah Sektor Sosiobudaya Institut Integriti Malaysia (IIM), Mazilan Musa, berkata kerajaan ingin menjadi negara maju dengan mengikut acuan sendiri.“Banyak gejala berlaku dalam masyarakat hari ini yang menyerupai negara Barat seperti masalah sosial dan keruntuhan moral, jadi perkara inilah yang perlu dibendung untuk meningkatkan kualiti individu dalam masyarakat negara ini,” katanya.Sehubungan itu, beliau berkata, maksud integriti yang baginya menjadi kunci pemantapan keluarga dan masyarakat, perlu dimulakan pada peringkat individu.“Integriti meliputi semua nilai positif yang perlu diterapkan pada seorang individu dan sebuah organisasi. Ia berkait rapat dengan etika dan tindakan seseorang.“Perkara asas dalam integriti adalah sifat jujur dan amanah. Bertanggungjawab, telus, cekap dan adil melengkapkan lagi nilai integriti dalam diri individu untuk membentuk dan memantapkan organisasi serta masyarakat,” katanya.Mazilan berkata, lima sasaran yang disenaraikan dalam Tekad 2008 mengambil kira pelbagai ruang lingkup bagi memastikan negara benar-benar bersedia menghadapi Wawasan 2020 dan satu daripadanya turut memberi perhatian kepada meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan masyarakat.Sehubungan itu, katanya, pelbagai pihak khususnya masyarakat sendiri perlu memastikan sasaran berkenaan berjaya dicapai jika ingin menjadi negara maju tanpa meminggirkan kesejahteraan rakyat.“Fokus kini ditumpukan pada pemantapan institusi keluarga dengan pendekatan jiwa integriti. Semua individu di negara ini, sejumlah 26 juta memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk menjayakan serta merealisasikan hasrat kerajaan menjadi negara maju yang tinggi kualiti moral dan sahsiah menjelang 2020.“Pembentukan sahsiah bermula dari didikan. Didikan pula tidak hanya di sekolah, sebaliknya peranan semua individu untuk memberi ajaran dan teguran dalam masyarakat,” katanya.Beliau berkata, ada tiga peringkat pembelajaran iaitu mengambil tahu, menghayati dan mengamalkan. Pada peringkat pertama, individu akan mendapat kesedaran seterusnya menghayati perkara yang dipelajari dan pada peringkat akhir mengamalkan perkara yang baik. “Dengan mengamalkan nilai yang baik akan membentuk individu terbaik yang mana boleh mengelakkan perkara buruk terjadi dalam masyarakat,” katanya.FAKTA: Lima sasaran dalam Tekad 2008
· Mengurangkan gejala rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan secara berkesan.
· Meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian khidmat awam, mengatasi kerenah birokrasi dan penyelewengan.
· Meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan.
· Memantapkan institusi keluarga.
· Meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
Isnin, 2 April 2007
penjagaan kesihatan anak-anak

Kesihatan Anak: Ubah cara pemakanan anak elak obesiti
KITA selalu mendengar mengenai masalah obesiti di kalangan kanak kanak. Bagaimanapun kadar peningkatan jumlah kanak-kanak obesiti tidak juga berkurang. Ia sesuatu yang tidak menghairankan kerana beberapa masalah seperti berikut;
- Makan adalah sesuatu yang menggembirakan
- Makanan yang tinggi kalori dan juga tidak baik untuk
kesihatan selalunya enak
- Bersenam adalah perkara yang susah untuk dilakukan
Setiap keluarga seboleh-bolehnya mengamalkan sedikit perubahan dalam cara kehidupan untuk memastikan anak mereka tidak menjadi obesiti. Ia boleh dilakukan tidak kira sama ada pada peringkat kanak-kanak atau bila dewasa kelak.Perlu ditekankan di sini, perubahan mestilah tidak secara mendadak. Jika dibuat terlalu drastik, kebanyakan ahli keluarga tidak dapat mengikuti perubahan itu.
Lima langkah yang mudah untuk menghindari masalah obesiti
- Mengurangkan makanan yang berkalori tinggiSecara umumnya satu paun berat badan
adalah bersamaan dengan 3,500 kalori. Jika anda mengambil lebih kurang 150 kalori
lebih sehari, dalam masa tiga minggu berat badan anda akan meningkat sebanyak satu
paun. Tahukah anda 150 kalori adalah bersamaan dengan sekeping biskut sehari? Bagaimanapun jangan sekali-kali mengikuti pelan diet yang terlalu tegas tanpa nasihat doktor atau pakar pemakanan.
- Kurangkan makanan segera (fast food)Kebanyakan makanan segera mempunyai kadar kandungan lemak yang tinggi. Tetapi tidak juga dinafikan kebanyakan restoran makanan segera sekarang ini mempunyai banyak pilihan makanan yang lebih berkhasiat.
- Kurangkan minuman kalori tinggiMinuman seperti minuman soda dan jus buah-buahan berkalori tinggi. Walaupun kanak-kanak boleh mengambil jus buah-buahan tetapi jika berat badan anak anda tinggi adalah lebih baik untuk mengurangkan minuman itu.
- Tingkatkan aktiviti senaman anak andaGalakan anak anda bersukan. Jika mereka kurang minat untuk bersukan aktiviti seperti berenang atau mengayuh basikal adalah mencukupi.
- Membeli barangan makanan dengan lebih bijakWalaupun anda tidak boleh mengawal pemakanan anak ketika mereka di luar rumah, barangan makanan yang dibeli untuk seisi rumah dapat mengawal sedikit sebanyak gaya pemakanan anak anda. Jika ibu bapa tidak membeli makanan seperti cip kentang dan makanan kalori tinggi, anak anda tidak akan mengambil makanan sebegitu sekurang-kurangnya di rumah.Perlu diingatkan, perubahan yang dilakukan mestilah sesuatu yang mudah untuk dijalankan. Ambil salah satu langkah seperti di atas setiap minggu. Secara tidak langsung tanpa diketahui perubahan yang agak ketara akan berlaku dalam cara kehidupan seharian.
TIP Panduan pemakanan kanak-kanak obesiti
- Mengurangkan makanan yang berkalori tinggi - Jangan makan di hadapan televisyen kerana ia selalu menyebabkan pemakanan yang berlebihan
Kurangkan makanan segera (fast food) - Pilih makanan yang berkhasiat apabila pergi ke restoran makanan segera.
- Kurangkan minuman kalori tinggi - Minum susu rendah lemak dan elakkan susu berperisa seperti coklat atau strawberi.
- Tingkatkan aktiviti anak anda - Berjalan setiap petang atau membabitkan diri dalam permainan.
- Membeli barangan makanan dengan lebih bijak - Baca label terhadap makanan yang dibeli. Pastikan makanan yang dibeli adalah rendah kalori seperti minuman kurang gula dan lemak.